Program Keusahawanan Berasaskan Kayu

Program Keusahawanan Berasaskan Kayu (Wood-Based Entrepreneurship Program) merupakan program yang diketuai oleh Dr. Andi Hermawan di bawah Geran Keusahawanan Berimpak Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Program yang diadakan secara bersiri ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai keusahawanan produk-produk berasaskan kayu, terutamanya kraf kayu. Siri pertama program ini merupakan seminar yang telah dijalankan secara hibrid (bersemuka dan atas talian) pada 19 November 2021 dengan tema 'Opportunities and Challenges in Wood-based Business'. Tiga ahli panel yang telah dijemput merupakan wakil industri daripada Nik Lah Sdn. Bhd., wakil agensi kerajaan daripada Malaysian Timber Industry Board (MTIB) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sendiri selaku wakil akademik bagi seminar tersebut. Ketiga-tiga panel telah membicarakan topik berkaitan peluang dan cabaran dalam perniagaan bagi produk berasaskan kayu.

Siri kedua bagi program ini telah dilaksanakan pada 26 November 2021 dengan menjemput beberapa orang panel daripada pihak industri dan akademik bagi membincangkan topik berkenaan pengurusan industri sederhana berasaskan kayu dan strategi pemasaran produk berasaskan kayu. Manakala siri ketiga pula telah dilaksanakan pada 27 hingga 29 November 2021 dengan menjemput tiga ahli panel daripada UMK bagi membincangkan tentang teknologi CNC moden dan konsep pemesinan. Program selama tiga hari ini turut bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai aspek teknikal berkaitan dengan teknologi pembuatan produk berasaskan kayu. Para peserta juga telah didedahkan dengan teknologi CAD/CAM dan praktikal pembuatan kraf kayu dengan menggunakan misin CNC. Lebih menarik, siri seterusnya yang akan diadakan pada Disember 2021, bakal disertai dengan lawatan ke Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC).

Semoga dengan mengikuti program ini, para pelajar telah mendapat pendedahan secara holistik mengenai perniagaan berasaskan kayu, terutamanya kraf kayu dan seterusnya bakal menjadi usahawan produk berasaskan kayu yang berilmu tinggi dan berstrategi dimasa hadapan.

Dr Andi Hermawan